Wednesday, December 29, 2010

Tanggungjawab kita

Tugas kita hanya menyampai, taufik dan hidayah milik Allah. Dia akan memberi taufik hidayahnya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Maka bertuahlah mereka yang mendapat taufik-hidayah tersebut.

Itulah motivasi yang perlu ada bagi seorang pemimpin/pendakwah untuk meneruskan usaha-usaha mengajak kaum keluarga, sanak saudara, sahabat handai, rakan sejawat dan seluruh masyarakat ke arah menjadi manusia yang lebih baik. Ia usaha tanpa henti. Namun sejarah telah menunjukkan yang usaha-usaha seperti ini akan berhadapan dengan halangan dan cubaan.
Ia mungkin dalam bentuk “pertentangan terus” atau pun secara ejekan, sindiran atau pun pandangan sinikal. Namun akhirnya, sebagaimana janji Allah, mereka yang terus berusaha akan mendapat kemenangan sama ada di dunia ataupun di akhirat.
Salah satu kunci untuk mempunyai kekuatan mental dan fizikal menghadapi cabaran ini ialah dengan bersolat malam. Bermunajat kepada Allah dan bertaubat kepadanya setiap malam. InsyaAllah, bangun malam merupakan resepi istimewa untuk setiap orang muslim.
Ikhtibar dari kisah Nabi Noh yang berjuang hampir 950 tahun menyeru kaumnya supaya beriman. Khabarnya, hanya 80 orang yang beriman menaiki bahtera ketika banjir besar melanda. Lihatlah, hanya sedikit daripada mereka yang ramai. Inilah golongan yang beriman. Dan tentu sekali kita juga termasuk daripada keturunan mereka yang beriman.
Namun masa telah memisahkan kita dengan datuk-nenek yang terdahulu. Di antaranya pelbagai peringatan telah diberikan oleh nabi dan rasul sehinggalah kepada Nabi Muhammad [segala puji dan selawat kepada baginda, kaum keluarga dan para sahabat yang mengikut jejak langkah baginda] sebagai penutup kepada segala nabi dan rasul.
Dan soal “sedikit” ini masih merupakan fenomena masa kini. Jemaah solat subuh berjemaah di masjid boleh dikira tanpa mengambil masa yang lama. Tiada siapa kecuali sedikit yang boleh berlindung dengan “kesibukan kerja” atau “masalah dunia” untuk gagal ke masjid pada ketika ini.
Mudah-mudahan kita semua diampunkan Allah, diberi keberkatan dan taufik-hidayah agar menjadi insan yang soleh dan solehah.

No comments:

Post a Comment