Wednesday, December 29, 2010

Sahabat seperjuangan


Secara teknikal, rakan sejawat adalah ahli keluarga.
Dalam kebanyakan kes, sebahagian daripada tempoh kehidupan akan bersama rakan sejawat. Suka atau tidak, rakan sejawat akan bersama sekurang-kurangnya beberapa jam sehari, 5-6 hari seminggu dan kadang-kala ia menjadi satu rutin yang perlu dihadapi.
Mungkin juga bagi organisasi besar, rakan sejawat sukar bertentang mata tetapi kesan kewujudannya akan tetap terasa sekurang-kurangnya pada ketika-ketika tertentu sehingga memberi kesan emosi yang besar.
Ada rakan sejawat menjadi sahabat keluarga yang baik. Ada rakan sejawat yang menikam belakang tanpa belas kesihan. Terdapat rakan sejawat yang pandai menutup aib rakan sejawat yang lain. Ada pula yang sentiasa membukanya tanpa rasa bersalah.
Terdapat rakan sejawat yang mengucapkan “tahniah” kerana dinaikkan pangkat. Ada pula yang mencebik dan mengata sehingga tergamak menabur fitnah.
Ada rakan sejawat yang “manis mulutnya, masam xxxxxnya”. Ada rakan sejawat yang baik kerana “ada udang di sebalik batu”, namun ada yang tulus turun ke hati.
Di sebelah mana kita, itulah sebahagian daripada ukuran keimanan seorang manusia. Salah satu kaedah untuk mengukur sama ada kita hampir dengan Allah SWT ialah dengan menilai bagaimana caranya kita berperasaan atau melayani rakan sejawat. Saya terbaca satu hadis yang sangat menarik dilaporkan oleh Al-Baihaqi, 
“Semoga Allah merahmatimu! Engkau adalah sahabatku! Engkau telah membenarkan ketika orang lain mendustakanku, engkau telah membantuku ketika orang lain membiarkanku, engkau telah beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku, engkau telah mententeramkan hatiku ketika hatiku sedang dalam keadaan keluh kesah. Sesungguhnya tiada siapa pun, biar apa pun sekali yang dilakukannya buat diriku yang dapat menyamai apa yang dibuat olehmu”
Ia adalah luahan hati Rasululullah kepada sahabatnya Abu Bakar yang boleh dijadikan kesimpulan persahabatan yang diredhai oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment